Kisah as-Syeikh Abu 'Abdullah al-Baghdadi - Peringatan kepada Orang-orang yang Sombong dan Takabbur di atas Ilmu, Kedudukan, Pendirian dan Pandangan
Kisah ini telah dipetik daripada kitab Hayaatul Hayawaan al-Kubra (Kehidupan Haiwan-haiwan Besar) oleh Imam al-'Allamah Kamaluddin Muhammad bin Musa ad-Dumairi (rahimahullah).
Kisah yang penuh pengajaran ini berlaku pada penghujung kurun ke-2 Hijrah. Zaman itu merupakan saat di mana keimanan, kejujuran dan ketakwaan masih sangat menyerlah dalam kehidupan manusia. Ianya masih berada dalam lingkungan zaman imam-imam Islam, dan dalam setiap bandar terdapat ramai ulama-ulama dan orang soleh, terutamanya dalam kota Baghdad, yang pada ketika itu merupakan pusat kerajaan Islam. Bandar ini dengan segala keindahan dalam dan luarnya benar-benar merupakan permata dunia.
Sekiranya, seseorang itu boleh menggembirakan pandangannya dengan melihat kepada bangunan-bangunan yang cantik dalam kota, dia juga boleh menikmati keseronokan menghadiri majlis para ulama dan auliya, halaqah-halaqah mereka dan mendapat ketenangan daripada zikir serta tilawah mereka.
Sesungguhnya Baghdad merupakan pusat Ahlul Haq, tepat perkumpulan para fuqaha', ulama hadith dan golongan solehin. Dalam bandar tersebut, antara perkumpulan ini, terdapat seorang ulama yang bernama Abu Abdullah al-Andalusi, dan beliau seorang faqih yang terkenal hampir di seluruh Iraq, serta seorang muhaddith yang hebat. Dikatakan, jumlah murid yang berguru dengannya mencecah 12,000 orang. Kisah lelaki inilah yang ingin kita persembahkan kepada para pembaca.
Selain dari beliau seorang lelaki yang sangat takwa, beliau juga seorang ilmuwan yang tersohor. Dikatakan bahawa beliau telah menghafal 30,000 hadith dengan hatinya dan beliau dapat membaca al-Qur'an dalam semua tujuh "wajhul qiraa'aat" (wajah-wajah bacaan al-Qur'an).
Pada satu ketika tertentu, beliau sedang bersafar dalam satu perjalanan yang ditemani oleh sejumlah besar manusia, antaranya ada Syeikh Junaid al-Baghdadi dan Syeikh Abu Bakar Shibli (kedua-duanya merupakan ulama yang sangat terkemuka dalam bidang kerohanian). Syeikh Shibli menceritakan:
Kafilah kami sedang bergerak sepanjang perjalanan dengan begitu baik, selamat dan tenang sehinggalah kami tiba di sebuah tempat yang diduduki oleh orang-orang Nasrani (Kristian). Waktu solah telah masuk, namun kami tidak dapat mengerjakannya kerana ketiadaan air. Ketika kami sampai di perkampungan orang Nasrani itu, kami telah bergerak untuk mencari air. Apabila kami berjalan di sekeliling kampung itu, kami menemui banyak kuil dan gereja, di mana terdapat sebilangan orang yang menyembah api, salib dan orang-orang Yahudi, dan pendeta-pendeta mereka berkumpul di situ. Sebilangan mereka sedang menyembah matahari, sebilangan lain pula sedang menyembah api, dan yang lain sedang menujukan wajah mereka kepada tanda salib. Apabila kami melihat ini, kami sangat takjub dengan kurangnya kefahaman mereka. Lalu kami meneruskan perjalanan.
Kami tiba di bahagian hilir perkampungan itu, di mana kami menjumpai sebuah telaga dengan beberapa orang gadis sedang mengambil air untuk diberi minum kepada penduduk.
Mata Syeikh Abu 'Abdullah singgah ke atas seorang gadis yang berada di antara gadis-gadis yang berada di perigi itu, yang memiliki wajah yang sungguh indah. Dia berpakaian dengan pakaian yang baik sekali, yang dikelilingi oleh mutiara-mutiara. as-Syeikh bertanya kepada semua gadis lain tentang siapakah gadis itu. Mereka menjawab: "Inilah anak perempuan kepada ketua kampung kami".
as-Syeikh bertanya: "Kalau begitu, kenapa pula ayahnya merendahkan kedudukannya sebegitu sekali sehingga dia pula terpaksa duduk dengan perigi dan memberi orang minum? Tidakkah dia memiliki pekerja wanita yang boleh melakukan ini?"
Lalu gadis-gadis itu menjawab: "Ya, ayahnya memiliki orang-orang upahan. Tetapi ayahnya seorang yang sangat pintar. Dia tidak mahu anak gadisnya duduk bersenang lenang dan merasa bangga dan bongkak dengan segala kemewahan harta miliknya
Tidak ada komentar:
Posting Komentar